Friday, April 6, 2012

Langkah pertama


Setiap perkara yang ingin dilakukan seperti sebuah projek sistem memerlukan perancangan yang teliti, namun tak semua perancangan akan dilaksanakan, kebanyakkan hanya tinggal angan-angan atau sekadar contengan atau lakaran di atas kertas yang lama-kelamaannya dibiarkan terkubur. Tetapi jika perkara itu diiringi dengan keyakinan dan kesungguhan, ia boleh dilakukan biarpun apa jua halangan yang mendatang seperti "syntax error" atau "... expecting ;".

Orang yang gagal ialah orang yang tidak pernah mencuba, dan orang yang telah berputus asa

Diharap blog ini dapat memberi manfaat dan faedah kepada pelajar mahupun sesiapa sahaja di luar sana yang terjumpa atau terserempak blog kerdil ini (Hello World! ya kami kerdil). biarpun sumbangannya hanya sekadar nota-nota ringkas dan tips-tips mudah seperti "\n" untuk barisan baru, semoga ilmu pengetahuan dan pengalaman yang dicurahkan dalam bentuk "infinite loop" dapat membantu kalian, walaupun sekadar rujukan untuk menyiapkan "assignment" ataupun dateline. Inilah langkah pertama kami.

Sunday, April 1, 2012

Mulanya disini


Memang agak sukar untuk memulakan sesuatu. Lagi-lagi sesuatu itu dapat mendatangkan manfaat kepada diri sendiri dan juga kepada orang lain. Setelah menceburkan diri dalam bidang sains komputer sejak tahun 2003 ( ketika saya diterima masuk ke UiTM untuk diploma sains komputer) Bidang ini seolah olah sebati dalam jiwa saya.

Memang komputer telah menjadi kegilaan saya semenjak saya berumur 6 tahun, apabila abah membeli komputer Apple Macintosh Classic untuk membuat kerja pejabat beliau di rumah.

8 MHz Motorola 68000 dan 512kb RAM, cukuplah untuk kerja pejabat abah. sumber:wikipedia
Walaupun sudah mempunyai komputer di rumah, tapi abah jarang sekali membenarkan anak-anaknya menyentuh komputer tersebut, maklumlah, harga komputer pada awal 90-an memang mahal. Namun saya tetap degil dan cuba boot komputer ini sendiri. Tanpa saya sedari, saya sedang menggunakan komputer dengan graphical user interface (GUI) yang sememangnya agak asing pada ketika itu.

Menyedari minat saya, abah membenarkan saya menggunakan komputer tersebut, saya masih ingat aplikasi puzzle di dalam komputer ini dan jika disusun dengan betul gambar epal akan dipaparkan berserta dengan bunyi "beep" sebagai tanda kemenangan :D

Setelah lebih dua dekad, saya merealisasikan cita-cita untuk menjadi seorang pembangun perisian komputer. Sekarang saya berkhidmat di sebuah syarikat multinasional di cyberjaya sebagai System Developer (Pembangun Sistem).

Lantaran saya terlintas, tidak banyak sumber di internet mahu pun sumber dari buku bercetak tentang pengaturcaraan (programming) yang saya rasa mungkin boleh membantu mereka yang berminat untuk belajar lebih mendalam tentang teknologi komputer dan bagaimana untuk menghasilkan sesuatu aplikasi yang boleh dimanfaatkan bersama.

Di laman blog ini saya bercadang untuk mencurahkan ilmu dan pengalaman saya selama hampir 10 tahun dalam bidang sains komputer dan menyentuh tentang pengaturcaraan, teknologi dan juga perisian-perisian dan gajet-gajet terkini yang sudah dan bakal dilancarkan. Semoga usaha saya dapat dimanfaatkan khususnya untuk masyarakat malaysia amnya.

Akhir kata, "kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya" - nantikan lebih banyak post dari saya